En. Awang seorang tukang kayu yang mahir.
Beliau telah menerima tempahan dari sahabat beliau, En. Zulkifli, dan kemudiannya menjual perkakas kayu yang diukir khas dengan harga RM2,000.00.
Panggilan demi panggilan dibuat berkenaan bayaran. Namun tiada susulan dari En. Zulkifli, malah En Zulkifli memberi jawapan yang samar-samar dan mula mengelak panggilan En Awang.
En. Awang akhirnya sedar bahawa En. Zulkifli enggan membayar beliau.
Setelah kerunsingan selama berbulan, En. Awang berputus kata untuk membawa hal beliau ke mahkamah.
Mahkamah membahagikan bidangkuasanya, antara lainnya, berdasarkan nilai tuntutan pihak-pihak.
Di sini, tuntutan En. Awang berjumlah RM2,000.00.
Oleh itu, beliau bolehlah memulakan suatu tindakan yang dinamakan ‘tuntutan kecil’. Prosedur bagi tuntutan sebegini termaktub di bawah Aturan 93 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, yang memperuntukkan bahawa had tuntutan maksima untuk tuntutan kecil adalah RM5,000.00.
Untuk memulakan suatu tuntutan kecil, seseorang itu bolehlah mengisi Borang 198. Borang itu sedia ada di dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, namun boleh juga diperolehi dari Mahkamah.
Seorang individu yang membawa tuntutan kecil tersebut akan bergelar ‘plaintif’. Pihak yang perlu membalas tuntutan kecil tersebut pula akan bergelar ‘defendan’.
Di dalam Borang 198, plaintif hendaklah menyatakan amaun dan butir-butir tuntutan. Selepas diisi, Borang 198 harus ditandatangani atau dicap jari cetak oleh plaintif sendiri, dan difailkan di Mahkamah. Empat (4) salinan Borang 198 harus difailkan.
Tuntutan oleh plaintif kemudiannya boleh disampaikan/dialamatkan kepada defendan samada secara kediri (kebiasaannya melalui tangan) atau melalui pos berdaftar pra bayar ke alamat terakhir yang diketahui.
Prosedur tuntutan kecil suatu kaedah yang berjimat untuk pihak-pihak. Antara lainnya:
Setakat hari ini, di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, Borang 198 hanyalah RM10.00.
Jika seseorang itu ingin memfailkan suatu tuntutan kecil, beliau mestilah individu, dan bukannya agen atau pemegang serah hak bagi apa-apa hutang orang lain.
Pihak-pihak kebiasaannya tidak diwakili peguam (melainkan suatu defendan itu dikehendaki oleh undang-undang untuk bertindak melalui wakil peguam, seperti syarikat-syarikat).
Tuntutan En. Awang akan kelak didengar di hadapan seorang Majistret.
Adakah En. Awang akan berjaya di dalam tuntutan beliau? Penulis akan sekian nanti menerokai kisah En. Zulkifli pula – sebagai seorang defendan yang menentang tuntutan kecil.